Friday 3 June 2016

Ujian Dan Dugaan Masa Bertunang, Seminggu Nak Berkahwin Serta Selepas Berkahwin


Semua tiga fasa hubungan ni pasti ada yang dah lalui dan dah rasa macam mana pahit manis kelat masin sebelum bergelar seorang suami atau isteri. Terutamanya pada kaum lelaki. Sebagai lelaki ni tahap kesabaran kena ada sampai level infiniti bila bergaduh dengan tunang atau isteri. Jangan gaduh sikit terus nak putus atau cerai. Perempuan ni akalnya pendek.


UJIAN SEMASA BERTUNANG
Masa bertunang, selalu je bergaduh, kerap rasa nak marah, kadang kadang ada sesetengah pasangan tu sampai nak putus tunang, tak jadi nak kahwin. Benda yang digaduhkan kecik je sebenarnya dan biasanya diungkit dengan perkara lain.Tu yang menyebabkan gaduh jadi besar. Bagi mereka yang bakal bertunang, jangan bertunang terlalu lama kerana dunia bertunang ni terlampau banyak dugaannya. Apatah lagi bagi pasangan yang berjauhan. Bila berjauhan, kena ada kepercayaan yang tinggi dalam diri. Kalau ada syak wasangka dan curiga, gaduh sikit terus nak putuskan hubungan pertunangan. Padahal bukan ada orang ketiga pun, tapi ada makhluk ketiga.  Ok, sila baca dan hadam artikel Kenapa Bertunang Tak Boleh Lama.


UJIAN SEMINGGU NAK KAHWIN
Bila seminggu nak kahwin, pandang pun tak mau. Rasa meluat semacam je. Kadang-kadang terlintas dihati betul ke dengan pilihan itu. Masa tu jugak jumpa orang yang lebih baik dari tunang kita. Kenapa? Sebab syaitan tak mau bagi kita bina masjid. Benda yang baik, syaitan pun hangat la. So syaitan pun usaha la nak hancurkan sebelum masjid terbina. Sebab bila dah terbina, makin susahlah syaitan and the geng nak robohkan masjid yang dah terbina dengan kukuhnya. Insha allah, kalau jodoh tu dah sampai, pasti akan sampai. Dugaan sikit ja tu, kata hati negatif tu syaitan je. Jangan ikutkan sangat. Boleh rasa beza hati tu sebelum dan selepas diijabkabulkan.


UJIAN SELEPAS KAHWIN
Takde pasangan suami isteri yang tak pernah rasa susah selepas kahwin lebih-lebih lagi yang baru 2 dan 3 bulan berumah tangga. Masing-masing gaji kecik. Ada jugak sesetengah pasangan yang masih belajar. Tapi banyak benda yang nak kena bayar. Hutang rumah sewa, bayar bil, bayar duit kereta dan banyak lagi. Silap haribulan asyik gaduh je. Inilah ujian selepas kahwin. Sabar atau tidak je. Selama ni kita hidup sendiri, tiba-tiba ada orang lain kita kena kongsi. Kat sini Allah nak uji hati suami dan isteri..Allah nak tengok nawaitu, persefahaman,rasa hormat dan tanggungjawab sesama pasangan. Bila semua dah betul, baru Allah akan buka pintu rezeki lebih luas lagi. Sebab tu ramai orang cakap, kesetiaan isteri diuji bila susah dan kesetiaan suami diuji bila senang.

Thursday 2 June 2016

Kenapa Tempoh Bertunang Tak Boleh Terlalu Lama?


Pertunangan secara ringkasnya lamaran seorang lelaki ke atas seorang wanita untuk dijadikan isterinya. Tapi apa yang nak dicerita ni sedikit sebanyak perkongsian hasil dari orang ramai semasa bertunang sebelum selamat diijabkabulkan.


KENAPA BERTUNANG TAK BOLEH TERLALU LAMA?

Biasanya tempoh pertunangan antara 3 bulan, 6 bulan, 8 bulan dan paling lama setahun. Kemungkinan pihak lelaki meminta tempoh seperti yang disebutkan dengan sebab untuk mengumpul duit terlebih dahulu, ingin menghabiskan tempoh pengajian di universiti/kolej dan sebagainya. Salah satu contoh :

" Saya ingin berkahwin dengan awak dalam masa 2 tahun lagi. Buat masa sekarang kita bertunang dulu sebab saya nak kumpul duit beli kereta atau ada pekerjaan yang tetap untuk menampung kehidupan yang akan datang."

Bagi mereka yang bakal bertunang, satu je nasihat. Jangan bertunang terlalu lama kerana dunia bertunang ni terlampau banyak dugaannya. Tempoh 1,2 atau 3 tahun adalah terlalu lama, pelbagai kemungkinan boleh terjadi. Apatah lagi bagi pasangan yang berjauhan. Bila berjauhan, kena ada kepercayaan yang tinggi dalam diri. Kalau ada syak wasangka dan curiga, gaduh sikit terus nak putuskan hubungan pertunangan.

Dalam tempoh pertunangan itu juga, bermacam-macam dugaan yang akan ditempuhi. Mereka yang pernah lalui, pasti dah rasa macam mana rencah alam bertunang ini. Antaranya :

1. Jumpa orang yang lebih baik dari tunang.
2. Hilang perasaan suka dan cinta pada tunang.
3. Mula rasa tak serasi menyebabkan jarang berhubung.
4. Bekas kekasih datang kembali.
5. Tunang curang dengan orang lain.
6. Selalu bergaduh walaupun benda yang remeh.
7. Tak pasti dengan pilihan atau dilema. 

PERLU KE SAYA PUTUS TUNANG KALAU DIA...............?

Sebenarnya bergantung pada masalah dalam hubungan korang tu. Kalau masalah setakat gaduh-gaduh kecik je, takkan la sampai nak putus tunang. Time kita marah, otak tak berfungsi dengan normal sebab syaitan tengah cucuk-cucuk. Bawak bertenang sebelum buat keputusan supaya tak menyesal. 


Kalau dia curang dengan orang lain?

Kenapa perlu curang kalau dah ada tunang? Rasanya lebih baik putuskan pertunangan tu, sebab kalau dia berani curang kali pertama, tak mustahil perkara yang sama akan berlaku lagi. Sama jugak dengan pasangan yang dah mula guna tangan, pukul sana sini walaupun hanya berstatus tunang. Bayangkan kalau dah berumah tangga nanti, bukan setakat tangan, sepak terajang pun turut melayang. Jalan mudah, tinggal je orang macam ni walaupun dia bagi ayat "I will kill myself if you leave me". Dia bukan jodoh korang.

BUAT SOLAT ISTIKHARAH MINTA PETUNJUK

Sila buat solat istikharah. Biasalah, time bertunang macam-macam dugaan ada. Orang selalu cakap, cari yang sayangkan kita, bukan yang kita sayang. Mintak petunjuk dari Allah, buat solat istikharah sebulan, solat taubat sampai Allah bagi petunjuk siapa sebenarnya jodoh terbaik. Allah lebih tahu yang terbaik untuk kita.  

Kita hanya manusia biasa. Ingat, kita hanya mampu merancang.. Allah yang menentukan. Setiap yang berlaku ada hikmahnya.

Wednesday 1 June 2016

Ujian Daripada Allah


Setiap manusia yang Allah cipta sentiasa akan diberi musibah, ujian atau masalah hidup didunia yang sementara ini. Tipu jika seseorang itu berkata yang dia tidak pernah ditimpa musibah. Setiap orang ada masalahnya tersendiri, Allah uji dengan berbagai-bagai ujian tetapi sebabnya adalah sama.

Allah menguji seseorang itu kerana Allah SWT mempunyai rahsianya tersendiri, sama ada Allah hendak tambah iman kita atau hendak uji sejauh mana keimanan kita. Dan kerana sesuatu ujian itulah yang membuka mata hati kita, yang mendidik kita supaya jangan mudah putus asa dalam kehidupan yang bagaikan bahtera dilautan yang penuh dengan onak duri, ujian juga dapat mematangkan kita.

Kadang-kadang kita tertanya-tanya, mempersoalkan kepada Allah SWT kenapa kita diberi ujian yang berat sebegitu sekali? Sehingga kita terlupa pada siapa yang perlu kita mengadu segala masalah kita, pada siapa kita harus minta kembali kekuatan kita. 


Allah timpakan ujian supaya kita bersabar

Astagfirullah, lemahnya dan rendahnya iman kita. Kita selalu tidak redha dalam menghadapi ujian yang Allah beri terhadap kita. Jika kita anggap diri kita ditimpa musibah yang besar kita hendaklah ingat bukan kita sahaja yang mengalaminya, mungkin ada sahabat-sahabat kita atau saudara seakidah kita yang lain menghadapi musibah yang sama bahkan lebih teruk atau lebih besar dari kita.

Bukankah Allah telah berkata dengan jelas di dalam Al-Quran yang Allah tidak akan sekali-kali menguji hambaNya diluar kemampuan hambaNya. Allah tahu kita kuat dalam menghadapi ujianNya jadi Allah berikan ujian itu ke atas diri kita. Di sini kita dapat lihat betapa sayang dan kasihnya Allah kepada kita sebagai hambaNya.

Allah menguji seseorang bukan kerana Allah benci kepada kita tetapi percayalah yang Allah sangat kasih kepada kita. Cuma kita sebagai hambaNya tidak pernah hendak bersabar dalam menghadapi ujianNya. Pasti Allah telah aturkan yang terbaik buat kita kerana setiap yang berlaku ada hikmahnya.

Alihkan pandangan mata ke arah LAUT, airnya cantik membiru dan penuh dengan ketenangan. Tetapi hanya Allah sahaja yang mengetahui rahsia di dalamnya. Begitu juga dengan kehidupan manusia, riang dan ketawa tetapi hanya Allah yang mengetahui rahsia kehidupan.

Jika rasa kecewa, alihkan pandangan ke arah SUNGAI, airnya tetap mengalir biarpun berjuta batu yang menghalangnya. Dan jika rasa sedih, alihkan pandangan ke arah LANGIT, sedarlah dan sentiasa ingatlah bahawa Allah sentiasa bersamamu.


Jadi seharusnya apa yang perlu kita lakukan?

berdoalah kepada Allah, Allah lah tempat kembali segala masalah yang sering membelenggu diri kita. Jangan malu untuk merayu-rayu, meminta-minta, memohon-mohon kepada Allah swt. Selalu diingatkan yang Allah tidak pernah jemu mendengar rintihan hambaNya, Allah itu Maha Mendengar. Dekatkanlah diri kita dengan pencipta kita yang menguasai seluruh alam, yang memegang hati-hati kita.

Disamping berdoa perlulah kita berusaha menyelesaikan masalah yang dihadapi. Mungkin ada yang rasa diri mereka tidak kuat hendak hadapinya tetapi cubalah bangun! Usah tewas dengan hasutan syaitan, cari kembali kekuatan kita kerana kekuatan itu ada dalam diri kita masing-masing.

Yakin dengan diri, kuatkan azam dan cita-cita. Usah tonjolkan kelemahan kita pada syaitan kerana syaitan tidak pernah berhenti menghasut agar kita lemah-selemahnya.

Kita perlu tahu selepas ujian itu selesai, satu lagi ujian akan datang, maka bersedialah dalam menghadapi ujian yang seterusnya.

Untung bagi mereka yang selalu diberi ujian tanda Allah swt sayang padanya.

Semoga kita sentiasa menjadi hambaNya yang sentiasa redha atas ujian dan ketentuan Allah swt. Apa yang ditetapkan untuk kita itulah yang terbaik!